KANGAR, 31 Mac — Kerajaan Perlis tidak mempunyai perancangan bagi mengeksport daun ketum ke Thailand selagi kerangka perundangan berhubung perkara itu tidak diselesaikan terlebih dahulu.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata walaupun negara ini tidak mempunyai akta bagi mencegah penanaman pokok ketum namun terdapat undang-undang diperuntukkan untuk mencegah penjualannya.

Beliau berkata selain itu, perancangan yang teliti dan penyelesaian terhadap penyalahgunaan daun ketum juga dilihat secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan berhubung tujuan eksport dibuat berikutan ia memberi kesan buruk kepada masyarakat.

 “Kita kena selesaikan dahulu masalah perundangan itu sebab selagi ia tak diselesaikan, nak jual atau nak tanam ketum memang tak boleh.

“Apa sahaja yang hendak dilaksana perlu mempunyai kerangka undang-undang yang membenarkan perkara itu berlaku,” katanya kepada pemberita di luar  Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini meminta kerajaan Persekutuan membenarkan negeri itu mengeksport daun ketum khususnya Thailand bagi tujuan perubatan.

Sementara itu  Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekiranya eksport ketum menjadi sah di sisi undang-undang, tidak menjadi kesalahan bagi pekebun kecil getah untuk menjana pendapatan tambahan dengan menanam tumbuhan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here