KUALA LUMPUR, 1 April — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan senarai kelayakan tahunan Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana-dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA) KWSP berkuat kuasa Khamis, 1 April, 2022.

Menurutnya, bagi tempoh 2022/2023, sebanyak 346 dana daripada 19 IPD telah diluluskan di bawah SPA KWSP, dengan 202 dana layak ditawarkan kepada ahli KWSP dan daripada jumlah tersebut, 159 dana (78.7 peratus) adalah dana tempatan di mana 80 dana (50.3 peratus) adalah dana ekuiti.

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof berkata KWSP menilai dana unit amanah ini setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Bagi 2022, skor Purata Mudah Untuk Pulangan Konsisten (SACR) telah ditingkatkan daripada 2.33 kepada 3.00 untuk dana-dana di bawah SPA KWSP, dan 4.00 untuk dana-dana unit amanah baharu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pengiraan SACR adalah berdasarkan purata bagi prestasi dana sepanjang tiga tahun tempoh penilaian menggunakan Penarafan Lipper untuk Pulangan Konsisten.

“Dana-dana ini hendaklah mengatasi prestasi penanda aras dana, dan melalui peningkatan skor SACR, kami dapat memastikan dana-dana yang ditawarkan bukan sahaja berprestasi tinggi, malah mengatasi prestasi dana-dana dalam klasifikasi yang sama.

“Dana unit amanah yang berada di bawah skor kelayakan minimum akan digantung daripada ditawarkan dalam tempoh ini,” katanya.

Menurut KWSP, di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melaburkan sehingga maksimum 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka melalui IPD, termasuk syarikat pengurusan dana amanah dan syarikat pengurusan aset melalui SPA KWSP, tertakluk kepada kelayakan berdasarkan Kuantum Simpanan Asas.

Bagi membantu ahli membuat keputusan termaklum dan pada kos yang rendah, KWSP menggalakkan mereka untuk menggunakan portal layan sendiri i-Invest KWSP yang boleh diakses melalui i-Akaun, jelasnya.

Ciri-ciri dalam i-Invest dapat membantu ahli yang ingin membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, memantau dana pelaburan mereka melalui i-Akaun di samping mendapatkan maklumat mengenai kos pelaburan, prestasi lampau, dan sebarang maklumat berkanun yang lain, tambah dana persaraan itu.

Rohaya berkata antara ciri utama i-Invest ialah caj jualan permulaan yang rendah di mana KWSP telah mengehadkan yuran maksimum sebanyak 0.5 peratus berbanding 3.0 peratus pada masa kini untuk transaksi secara luar talian atau menggunakan ejen.

“Bermula 26 Mac, 2022, ahli juga boleh menggunakan ciri-ciri baharu dalam platform i-Invest.

“Simulator Pelaburan dapat membantu ahli membuat perancangan pelaburan dan fungsi Penanda Aras Prestasi Dana dapat membantu ahli membandingkan prestasi dana yang dipilih dengan prestasi penanda aras Lipper dana tersebut,” katanya.

KWSP bagaimanapun menyarankan ahli untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang betul serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi.

“Ahli boleh rujuk kepada Khidmat Nasihat Ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP, jelasnya.

“Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ia bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu,” tambah dana persaraan itu.

Ahli boleh merujuk kepada laman web myEPF di https://www.kwsp.gov.my/member/investment untuk mendapatkan senarai penuh dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here