MAKKAH, 10 April — Peluang berpuasa di awal Ramadan selama tiga hari di Tanah Suci Makkah tidak  dibazirkan begitu sahaja, sebaliknya peluang kecemasan itu digunakan sepenuhnya untuk meraih sebanyak mungkin pahala.

Semua dilakukan demi mendapat keberkatan serta keredaan Allah. Tambahan pula bukan mudah hendak mendapat taraf ‘tetamu Allah’ di Tanah Suci Makkah.

Sehubungan itu, sebahagian jemaah Malaysia yang menunaikan umrah, bukan sahaja berpeluang menyambut 1 Ramadan di Makkah, malah merasai kemeriahan apabila berpuasa dan bertarawih di hadapan Kaabah.

Bagi mereka, sambutan dan peluang di Tanah Suci itu tidak sedikit pun membuatkan mereka berasa penat, sebaliknya ada antara mereka cuba berlumba-lumba untuk merebut keberkatan bulan puasa.

Tambahan pula ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah di Tanah Suci adalah berlipat kali ganda.

Tidak terkecuali juga bagi beberapa jemaah yang sedikit uzur dan terpaksa menggunakan kerusi roda.Semangat berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah berbeza sekali. Malah, kalangan yang berkerusi roda itu bukan sahaja dapat berpuasa dan bertarawih, malah juga dapat mengerjakan ibadah umrah.

Sepanjang Ramada ini, jemaah yang hendak bersolat atau menunaikan umrah melibatkan tawaf di hadapan Kaabah perlu memakai ihram. Mereka yang tidak memakai ihram masih boleh bersolat dalam Masjidil haram namun bukan berdekatan dengan Kaabah. Itulah peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Saudi sejak Covid-19 menular.

Selain itu, para jemaah juga masih perlu memakai penutup hidung dan mulut termasuk ketika tawaf, namun sedikit kelonggaran ketika saei.

Pihak berkuasa Saudi juga menetapkan aplikasi tertentu untuk para jemaah bagi menetapkan temujanji terutama bagi mereka yang hendak melakukan tawaf dan saei. Tanpa temu janji aplikasi dan pakaian ihram, seseorang jemaah tidak dibenarkan melakukan umrah.

Seorang  jemaah, yang merupakan Pengerusi Persatuan Profesional Dialisis Malaysia (PPDM), Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz memberitahu, beradadi Tanah Suci secara langsung berjaya membina dan meningkatkan lagi tali persaudaraan dan persefahaman serta menolak berbezaan fahaman politik.

“Di sini, kalangan jemaah sentiasa saling bantu-membantu antara satu sama lain. Masing-masing mengetepikan kepentingan diri.

“Yang uzur dibantu kerana sama-sama mahu merebut keberkatan yang dijanjikan oleh Allah SWT,” katanya yang mengiringi 31 jemaah umrah dariMalaysia.

Jelas Zulkifli, walaupun suhu Makkah melebihi 41 darjah Celcius pada waktu siang, namun para jemaah sentiasa menjaga kesihatan mereka dan aktiviti umrah termasuk tawaf, saei dan tahlul dilakukanpada malam hari atau awal pagi.

“Suhu panas juga tidak menghalang apabila masihada kalangan jemaah yang mengerjakan umrah padawaktu tengah hari,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedia mengaturkan rawatan dialisis kepada jemaah yang menghidap penyakit buah pinggang jika ada permintaan.

“Dalam hal ini, mereka yang berkerusi roda, yang memerlukan dialisis dan sebagainya, kita sedia aturkan dan mereka boleh mengerjakan umrah seperti orang lain yang sihat,” katanya.

Seorang pesara polis, Yahaya Chik, 63, yang telah menyumbangkan jasa selama 37 tahun kepada pasukan polis dan pertama kali dapat mengerjakan umrah memberitahu, dia tidak pernah terfikir berpeluang mengerjakan umrah memandangkan pendapatan yang tidak seberapa dari pencen yang diperolehi.

“Tapi rakan saya seorang usahawan perabot dan juga Datuk Zulkifli sendiri telah banyak membantu hingga saya berpeluang datang ke Tanah Suci ini.

“Walaupun suhu di sini sangat panas, tapi syukur saya masih dapat berpuasa, bertarawih. Bagi saya yang penting ialah kita mengejar sebanyak mungkin keberkatan yang ada di sini,” katanya dalam nada sebak.

Bagi seorang usahawan dari Manjung, Zulkefli Abu Bakar, 45, pada mulanya dia menjangkakan hanya dapat berpuasa satu hari sahaja di Tanah Suci.

“Tapi apabila kerajaan Saudi umumkan hari puasa awal dari Malaysia, syukur kerana saya dapat puasa hingga tiga hari di sini.

“Ini pertama kali peluang saya berpuasa dalam bulan Ramadan di Tanah Suci walaupun pernah mengerjakan umrah sebelum ini. Syukur.

“Suasana Ramadan dengan berbuka puasa dan tarawih memang meriah dengan pelbagai orang berlumba-lumba menghulurkan sedekah.  Ia seolah-olah satu perlumbaan untuk merebut pahala dan keberkatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here