KANGAR, 15 April — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perlis menyumbangkan zakat berjumlah RM5,000 kepada Masjid Al-Mursyid Guring, Pauh bagi meringankan beban asnaf dalam kalangan anak-anak kariah masjid berkenaan.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan majlis penyerahan cek contoh oleh Pengurus SSM Perlis Ahmad Nizam Samsoo kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Guring Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail, petang semalam.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Ahmad Nizam menerusi kenyataan itu berkata setiap tahun SSM menjadikan ulang tahun penubuhannya pada 16 April sebagai satu daripada acara tahunan suruhanjaya itu bagi memperingati sejarah perjalanannya dan pelbagai aktiviti telah dirancang melibatkan peringkat ibu pejabat, pejabat negeri dan cawangan di seluruh negara.

“Aktiviti yang dirancang termasuk aktiviti di bawah agihan wakalah zakat dan peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM,” katanya.

Beliau berharap sumbangan zakat itu dapat mengimarahkan lagi aktiviti di masjid dan program-program berbentuk agihan zakat tersebut membantu menyantuni golongan asnaf.

“SSM Cawangan Perlis turut memperuntukkan agihan zakat berjumlah RM15,000 kepada golongan asnaf fakir miskin terpilih yang telah dikenal pasti melalui kerjasama MAIPs,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here