KUALA LUMPUR, 24 April — Setiap ahli mempunyai cara berbeza dalam menzahirkan kesetiaan kepada parti dan perkara itu perlu diraikan, kata Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Malah, beliau menyifatkan percubaan mempertikaikan kesetiaan mereka yang sepanjang hayat berjuang demi parti bukan satu tindakan baik kerana ia akan menanam kebencian sesama ahli sekali gus melemahkan parti. 

“Bercakap tentang setia kepada parti adalah satu tajuk yang sentiasa menarik. Malah hampir semua orang bercakap tentang setianya mereka pada parti…kadangkala bukti setia mereka adalah dengan menuduh pihak lain tidak setia. 

Pendek kata, kalau pun jasa tak mahu dikenang, setiakawan mahu disalah ertikan, usah soal setia mahu dibicarakan. Usah menikam dalam senyuman,” menurut Annuar dalam catatan di Facebooknya, hari ini. 

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata kesetiaan kepada parti sememangnya amat penting dan ia berbeza dengan kesetiaan kepada individu yang kadangkala dianggap sebagai tanda setia pada parti. 

Annuar berkata kesilapan serta perlakuan individu yang menyalahi roh, matlamat dan semangat perjuangan parti tidak boleh menuntut kesetiaan kerana ia adalah daripada aspek individu dan bukannya parti. 

“Begitu juga teguran kepada individu atau perlakuan tertentu, bukan satu perlakuan tidak setia pada parti. Sering parti dijadikan perisai tindakan peribadi. Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi.

Membelakangi mandat parti, tidak menjunjung amanah parti, tindakan tidak patuh kepada keputusan parti, lain ditetapkan parti lain dibuat di luar pengetahuan parti, membohongi parti adalah antara tanda tidak setia kepada parti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here