PUTRAJAYA, 27 April — Keperluan melakukan ujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan bagi tiga kumpulan pengembara digugurkan berkuat kuasa 1 Mei ini, umum Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Mereka terdiri daripada pengembara berusia 13 tahun ke atas yang telah lengkap vaksinasi; mempunyai sejarah jangkitan COVID-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke Malaysia; dan  pengembara berusia 12 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.

Beliau berkata pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksinasi perlu melakukan ujian prapelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia menggunakan RT-PCR atau RTK-Ag Professional.

Mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan menggunakan RTK Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan swasta sama ada secara fizikal atau maya, katanya.

“Mereka masih perlu menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah. Mereka perlu menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag professional pada hari kelima,” katanya dalam sidang media di sini bagi mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Khairy berkata pengembara dikesan bergejala semasa berada di pintu masuk antarabangsa negara   akan diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK-Ag profesional.

Beliau berkata polisi sama digunapakai bagi semua kategori pengembara termasuk umrah, haji dan pekerja asing.

“Semua pengembara masih perlu mengemukakan Kad Pengembara (Traveller’s Card) yang dipaparkan  dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa,” katanya.

Bagi pengembara umrah dan haji, beliau berkata mereka dikehendaki mendapatkan vaksinasi dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Dalam pada itu, beliau berkata insurans COVID-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia tidak lagi menjadi prasyarat kemasukan ke Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here