KANGAR, 27 April —  Semangat tinggi untuk membantu negara beralih ke fasa endemik menyebabkan individu yang terpilih sebagai Duta Komuniti Keluarga Malaysia berasa bangga.

Seorang peniaga Muhamad Zulkefli Mokhtar, 59, berkata beliau bangga kerana dapat menyumbang tenaga membantu kerajaan mendidik masyarakat agar mematuhi  prosedur operasi standard bagi mencegah penularan COVID-19.

“Saya hanya orang biasa dan ini adalah satu-satunya cara (menjadi duta komuniti) untuk saya membantu kerajaan dan orang ramai keluar daripada belenggu COVID-19,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Azrul Hassan pula berkata sambutan yang diterima daripada masyarakat di negeri itu amat menggalakkan.

“Sehingga kini, seramai 450 orang telah dilantik sebagai Duta Komuniti Keluarga Malaysia di Perlis dan kita harap ia akan terus mendapat sambutan lebih-lebih lagi daripada generasi muda,” katanya pada Majlis Gotong-Royong Kucai Bubur Lambuk Warga Jabatan Penerangan bersama Komuniti Keluarga Malaysia Kangar di sini.

Beliau berharap duta komuniti akan terus membantu kerajaan bagi memastikan proses peralihan ke fasa endemik berjalan lancar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here