KOTA BHARU, 27 April — Pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa 1 Mei depan, memberi kelegaan kepada masyarakat.

Seorang guru, Rosmaniza Abdul Rahman, 51, dari Pengkalan Chepa menyambut baik mengenai pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi adalah atas pilihan individu.

“Kelonggaran itu wajar dan rasional memandangkan negara kini berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Ini dapat menjimatkan kewangan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) apabila dapat mengurangkan penggunaan pelitup muka,” katanya yang dihubungi hari ini.

Suri rumah, Ainy Md Yunos, 70, berkata beliau boleh menarik nafas lega apabila imbasan kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat awam. 

“Keperluan untuk mengimbas sebenarnya agak merumitkan khususnya bagi golongan warga emas seperti saya yang ada ketika mempunyai kekangan untuk melakukan imbasan,” katanya.

Bagi pelajar, Siti Hajar Nazir, 23, inisiatif pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka bergantung kepada diri individu.

“Kalau dia rasa kesihatan tidak begitu baik, dia boleh ambil inisiatif untuk terus memakai pelitup muka. Buat sementara waktu, saya akan terus pakai pelitup muka bergantung kepada tempat saya berada,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Nur Hazimah Hamedan, 23, pula berkata dia tidak bersetuju dengan kelonggaran imbasan kod QR MySejahtera untuk daftar masuk ke premis yang tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa 1 Mei.

Menurutnya keputusan tersebut akan menyukarkan pengesanan kontak sekiranya berlaku sebarang jangkitan COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here