GEORGE TOWN, 1 Mei — Selepas dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, umat Islam Pulau Pinang hari ini mengambil kesempatan cuti umum Hari Pekerja untuk menziarahi pusara ahli keluarga dan sanak saudara yang telah meninggal dunia.

Sudah menjadi rutin untuk orang Islam menziarahi kubur insan tersayang menjelang atau ketika Aidilfitri.

Berlinang air mata Ramlah Wahab, 46, ketika ditanya mengenai perasaan dibenar untuk melawat kubur suami dan adik iparnya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, di sini.

Ramlah, seorang penyelia di sebuah kilang di Bayan Lepas berkata setiap tahun, beliau dan anak-anak akan menziarahi pusara suami dan adik ipar untuk mengubat rindu yang tiada penghujung.

“Saya berasa sangat bersyukur dan gembira dapat menaburkan bunga dan menuangkan air mawar di atas pusara suami dan adik ipar menjelang hari lebaran kali ini, dua tahun tidak dapat melakukannya akibat Perintah Kawalan Pergerakan berikutan COVID-19,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Ramlah yang ditemani anaknya Abdul Haikal Abdul Malek, 18, dan Abdul Hazly Aliff, 17, berkata beliau terpaksa mengupah pembersih pusara untuk memotong rumput yang telah tumbuh di sekeliling kubur.

Seorang penghantar makanan, Mohd Rosli Abd Wahab, 45, berkata selepas terbiar dua tahun, beliau hari ini terpaksa membawa cangkul dan pemotong untuk memotong rumput yang telah tumbuh melebihi ketinggian paras lutut di sekeliling pusara arwah datuk dan bapa saudaranya.

“Hari ini saya datang seawal 9 pagi dengan cangkul dan pemotong rumput untuk memotong sendiri rumput yang tumbuh…saya seronok dapat ziarah dan bersihkan kubur sebelum sambutan Aidilfitri,” katanya yang ditemani ibunya, Salmah Ishak, 65.

Rosli berkata sebelum COVID-19, memang menjadi amalan keluarganya untuk menziarah dan membersihkan kubur setiap tahun menjelang sambutan Aidilfitri, namun amalan itu terpaksa dihentikan pada 2020 dan 2021.

Tinjauan Bernama di tanah perkuburan Islam mendapati ramai yang mengambil peluang cuti umum ini untuk menziarahi kubur, membaca surah Yasin, mengirimkan bacaan al-Fatihah dan tidak kurang juga yang menitipkan doa buat insan tersayang yang sudah tiada lagi di dunia.

Seorang penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak Mohammad Rozi Md Hassan, 45, berkata orang ramai telah mula menziarahi pusara-pusara ahli keluarga mereka sejak Jumaat lepas.

“Sejak minggu lepas, setiap hari akan ada lebih 30 keluarga yang kebanyakannya menetap di Pulau Pinang datang menziarah ahli keluarga mereka yang dikebumi di sini. Kalau mengikut kebiasaan, mereka yang dari luar negeri akan datang pada hari raya pertama dan kedua,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here