BEIJING, 2 Mei — Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan Myanmar dikuatkuasakan secara rasmi pada 1 Mei, menjadikan jumlah anggota RCEP meningkat kepada 13 negara.

Pada hari sama, Kastam Yongning di bawah Kastam Nanning, wilayah Guangxi China turut mengeluarkan sijil asal RCEP yang pertama kepada Myanmar.

Pengeluaran sijil untuk produk natrium sakarin bernilai RMB1 juta yang dieksport ke Myanmar itu dijangka menikmati potongan tarif sebanyak RMB10,000.

Menurut statistik Kastam Nanning, jumlah import eksport wilayah Guangxi ke Myanmar mencatat kira-kira RMB190 juta pada suku pertama tahun ini.

Pada masa sama, barangan eksport pertama ke Myanmar setelah RCEP dikuatkuasakan telah dihantar melalui Pelabuhan Youyi di sempadan China-Vietnam melibatkan barang tekstil bernilai RMB120,000 yang akan dihantar melalui pengangkutan darat.

Pegawai Kastam Pelabuhan Youyi, Li Zhenglun berkata penguatkuasaan RCEP akan membawa peluang baik kepada pasaran. 

“Syarikat terlibat dinasihatkan mengambil peluang daripada pembukaan pasaran untuk berkongsi manfaat dasar tarif berkenaan,” katanya. 

Sejak RCEP dikuatkuasakan pada awal tahun ini, Kastam Nanning telah memberikan kira-kira 500 sijil melibatkan barangan bernilai RMB300 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here