KUALA LUMPUR, 3 Mei — Keuntungan tinggi hasil kegiatan penyeludupan rokok merupakan antara sebab aktiviti haram itu masih berterusan meskipun usaha pihak berkuasa membanterasnya tidak pernah terhenti.

Malah menurut Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Rizal Mohamed kegiatan sindiket penyeludupan barang itu meningkat sejak dua tahun lepas, meskipun negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Rizal berkata pasukannya berjaya merampas 7,982 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM1,430,251 pada tahun 2020 meningkat kepada 115,526 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM25,985,425 pada tahun lalu.   

“Dalam tempoh Januari  hingga Mac tahun ini, sebanyak 9,415 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM1,833,133 dirampas dengan enam individu ditahan,” katanya kepada Bernama. 

Menurut Rizal pelbagai taktik dan modus operandi digunakan sindiket penyeludupan rokok ini bagi mengelirukan pihak berkuasa serta mengelak daripada aktiviti mereka dikesan.

“Sindiket ini tidak takut kerana mereka tahu kegiatan ‘pulangan’ daripada penyeludupan atau kegiatan haram ini sangat lumayan memandangkan ia masih mendapat permintaan tinggi (daripada pengguna),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata permintaan rokok seludup yang tinggi kerana harga yang murah juga menyebabkan sindiket itu terus mengambil kesempatan ‘menjana keuntungan’ sehingga kerajaan menanggung kerugian berbilion ringgit setiap tahun. 

Menurutnya paling banyak rokok diseludup dari negara Indonesia dan Thailand dan kadang-kadang ia terlepas daripada dikesan pihak berkuasa kerana modus operandi sindiket ini biasa berselindung di sebalik jalan yang sah atau dikenali  ‘jalan gajah’ di pelabuhan utama.

Rizal berkata setiap hari terdapat puluhan ribu kotak rokok menggunakan kontena masuk ke Selangor menerusi pelabuhan dan agak sukar untuk mengenal pasti kontena yang mengandungi bahan seludup kerana sudah diisytihar sebagai barang yang sah.

Beliau berkata oleh itu, kawalan keselamatan di setiap pintu masuk seperti pelabuhan besar negara perlu diperketatkan dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan bagi menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas. 

Justeru, beliau mencadangkan lebih banyak sistem pengimbas dipasang di kawasan pelabuhan bagi mengenal pasti isi kandungan kontena sebelum dibawa keluar selain menambah keanggotaan penguat kuasa bagi memantau kegiatan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here