ALOR SETAR, 7 Mei — Seorang pekerja pemotong rumput maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Pintasan Semeling, berhampiran Taman Malinja dekat Bedong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata mangsa yang maut itu lelaki dikenali sebagai Cinglowpa, 20, yang berasal dari Myanmar manakala rakan senegaranya Jamal Husson Fozol Haque, 33, patah bahu bahagian kanan.

“Sebelum kejadian kira-kira 11 pagi itu, Cinglowpa sedang berehat di bahu jalan manakala rakannya sedang duduk di atas motosikal jenis Honda Wave yang diparkir di situ selepas bekerja.

Secara tiba-tiba, MPV jenis Perodua Alza yang dipandu laju remaja lelaki berusia 16 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok. MPV itu kemudian terus melanggar kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala remaja berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera parah juga telah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Remaja berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here