KOTA BHARU, 8 Mei — Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki tekong darat bersama 20 pendatang tanpa izin warga Myanmar di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata kegiatan lelaki berusia 21 tahun itu dikesan selepas dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan terserempak dengan suspek yang memandu van dalam keadaan mencurigakan di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas pada 6.15 pagi.

Beliau berkata polis kemudiannya mengarahkan pemandu van berhenti, namun dia sebaliknya bertindak agresif dengan memecut laju dan cuba melarikan diri.

“Selepas mengejar sejauh tujuh kilometer, van itu akhirnya berhenti di tepi jalan Kampung Banggol Chica, Pasir Mas pada 6.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan di dalam van, polis menemukan 20 warga Myanmar disyaki pendatang tanpa izin iaitu 17 lelaki dan tiga orang wanita berusia 17 hingga 40 tahun. Kesemua mereka disyaki memasuki negara ini secara tidak sah melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

“Buat masa ini suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Kesemua warga Myanmar yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here