KANGAR, 15 Mei — Pesta Angin Timur (PAT) yang dinanti-nantikan rakyat di negeri ini dan pelancong akan diadakan secara fizikal serta dalam talian pada 21 dan 22 Mei ini.

Acara tahunan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dijenamakan sebagai PAT2022@Hibrid.

Edisi sebelum ini iaitu PAT2021@Online telah dianjurkan secara dalam talian akibat penularan pandemik COVID-19.

Pengarah JKKN Perlis Norazlin Nordin berkata pihaknya menyasarkan PAT2022@Hibrid akan berlangsung lebih meriah dengan adanya aktiviti secara fizikal di Auditorium Kompleks JKKN Perlis.

“Mengikut rekod JKKN, PAT 2021@Online meraih 86,000 jumlah penonton secara dalam talian dan kita harap jumlah penonton akan bertambah pada edisi kali ini dengan lebih banyak aktiviti menarik dianjurkan sepanjang dua hari itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Norazlin berkata PAT2022@Hibrid akan dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man pada 21 Mei.

Beliau berkata orang ramai boleh menonton secara dalam talian menerusi laman Facebook JKKN dan JKKN TV.

“Terdapat beberapa pertandingan diadakan secara fizikal antaranya masakan berasaskan mentarang, Miss Kebaya Perlis, PAT Got Talent dan Badang Perlis,” katanya.

Menurutnya antara acara menarik secara dalam talian pula ialah tayangan 10 dokumentari memaparkan mengenai Perlis termasuk segmen ‘apa yang menarik apa yang tertarik’ yang menumpukan empat lokasi pelancongan di Perlis serta dokumentari mengenai seniman dan pelawak  Allahyarham Yussry Edoo atau lebih dikenali sebagai Pak Yus.

Beliau berkata selain itu, ceramah agama yang disampaikan Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali Ustaz Syamsul Debat dan Da’i Aiman Sufyan Aezman atau lebih dikenali Da’i Aiman turut diadakan di Auditorium JKKN Perlis pada 21 Mei.

Norazlin berharap edisi PAT 2023 dapat dilaksanakan secara fizikal mengikut pelaksanaan konsep asal iaitu diadakan di kawasan bendang apabila negara telah memasuki fasa ke endemik nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here