KUALA LUMPUR, 20 Mei — Program eKelas Usahawan anjuran Maxis Berhad (Maxis) berjaya melatih lebih 1,000 usahawan sejak dilancarkan tahun lepas, dengan sebahagiannya terdiri daripada usahawan wanita dari golongan B40, untuk membantu mereka membangunkan kedudukan digital lebih kukuh.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan merangkumi beberapa siri bengkel digital serta pendekatan melalui latihan amali untuk melengkapkan usahawan melalui modul termasuk petua dan kemahiran asas pemasaran, fotografi dan penulisan iklan serta perancangan untuk kempen pemasaran dan pengiklanan melalui platform dalam talian serta media sosial.

 Menurut Maxis, bengkel eKelas Usahawan diadakan secara maya melalui webinar awam bersama rakan latihan Maxis dengan sokongan daripada sukarelawan MSquad jika diperlukan.

“Maxis juga bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi negeri antaranya Yayasan Hijrah Selangor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar yang menyokong program berkenaan dengan mengenal pasti peserta untuk sesi khusus dan membantu logistik di lapangan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Maxis sedang berbincang dengan bakal rakan kongsi untuk mendapatkan lebih ramai usahawan khususnya wanita mendapat manfaat daripada program tersebut.

Ketua pegawai hal ehwal korporat Mariam Bevi Batcha dalam kenyataan berharap untuk melihat lebih ramai wanita di seluruh negara mendaftar untuk eKelas Usahawan tahun ini.

Mereka yang  berminat untuk menyertai program berkenaan boleh mendaftar secara percuma melalui https://www.maxis.com.my/en/about-maxis/corporate-responsibility/.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here