BEIJING, 25 Mei — China akan terus giat memperkukuh hubungan dalam kalangan rakyat China dan Amerika Syarikat (AS), di samping memperkasa kerjasama saling menguntungkan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Hasrat itu dinyatakan Presiden China, Xi Jinping menerusi surat yang dihantar kepada kenalannya, Sarah Lande, dari Iowa, AS.

Menerusi surat itu, beliau turut memaklumkan dirinya sudah dua kali melawat Iowa dan berkesempatan beramah mesra dengan masyarakat setempat di bandar Muscatine.

Xi menyifatkan jalinan persahabatan antara rakyat China dan AS sebagai tidak ternilai harganya, sekali gus meletakkan asas kukuh untuk kemajuan hubungan dua hala.

Beliau berharap Lande dan sahabat lamanya yang lain di Muscatine terus menyemai bibit persahabatan ke arah mengukuhkan hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.

Untuk rekod, Lande pernah menerima kunjungan hormat Xi ke Muscatine pada 1985. Pada 2012, ketika Xi menyandang Naib Presiden China turut mengunjungi kediaman Lande semasa lawatan kerjanya ke AS.

Baru-baru ini, Lande menulis surat kepada Xi dengan menyatakan harapan agar pertukaran sosiobudaya dalam kalangan rakyat AS dan China dapat terus diperkukuh dan usaha membina persefahaman serta saling percaya diperkasakan. 

Sebagai tanda persahabatan, Lande turut menghadiahkan salinan memoirnya ‘Old Friends: The Xi Jinping-Iowa Story’ kepada Presiden Xi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here