KUALA TERENGGANU, 30 Mei — Pelbagai program disediakan bagi menarik kehadiran ramai ke acara Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus selama tiga hari bermula Khamis ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran terkini di laman Facebook berkata antara yang disediakan ialah perkhidmatan pelbagai kementerian serta agensi terus kepada rakyat, Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia dan pelbagai gerai usahawan.

“Saya mengajak semua keluarga Malaysia khususnya rakyat Terengganu dan penduduk negeri-negeri yang berdekatan untuk hadir sama-sama memeriahkan program ini,” katanya.

Sementara itu semasa temu bual khas bersama TV Al-Hjirah dalam rancangan Assalamualaikum yang turut dimuat naik dalam laman Facebook beliau pagi tadi, menteri besar itu memaklumkan lokasi penganjuran jelajah AKM Terengganu sangat bersesuaian dengan kehadiran puluhan ribu pengunjung.

“Lokasinya dekat dengan lapangan terbang, jadi senanglah orang dari luar negeri nak datang… ia mempunyai laluan masuk dan keluar yang luas, sesuai untuk menerima pengunjung yang ramai,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri berhasrat untuk memaksimakan kehadiran pengunjung dan berharap dapat mewujudkan kemeriahan dalam satu semangat Keluarga Malaysia.

“Peluang ini juga harus diambil oleh seluruh masyarakat kerana jentera-jentera dan agensi kerajaan akan berada di AKM Terengganu, jika ada sebarang masalah untuk diselesaikan boleh terus ke kaunter-kaunter yang disediakan,” katanya.

Sementara itu katanya setakat ini persiapan penganjuran acara yang mendukung semangat kerjasama, keserasian dan perpaduan itu berjalan lancar, dengan Kementerian Pendidikan dipilih sebagai kementerian peneraju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here