KUALA LUMPUR, 2 Jun — Malaysia dan Turki telah berbincang secara mendalam berkaitan inisatif untuk memperluas kerjasama strategik sedia ada serta berkongsi pengalaman khususnya dalam aspek pemerkasaan kawalan sempadan negara. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perkara itu dibincang semasa kunjungan hormat beliau ke atas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden di Ankara pada Selasa lepas yang turut dihadiri rakan sejawatnya, Suleyman Soylu.

“Turki mempunyai kepakaran tinggi dalam menangani pencerobohan warga asing di sempadan, maka beberapa lawatan khas bagi melihat pengurusan, teknologi, aset-aset strategik serta lokasi operasi tumpuan telah diaturkan secara khusus oleh negara itu yang diselaras oleh Soulu,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hamzah, sebagai rakan strategik utama serta negara pempamer terbesar bagi Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di sini pada Mac lepas, Turki turut diiktiraf mempunyai teknologi, sistem serta aset keselamatan bertaraf dunia.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) percaya lawatan kerja rasmi ke republik tersebut akan menjadi penanda aras utama bagi pihaknya dalam menambah baik dasar, penguatkuasaan dan aset strategik kawalan sempadan negara.

Hamzah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Erdogan kerana sudi menerima kunjungan hormat beliau serta menyifatkan layanan istimewa yang diberikan sebagai tanda persaudaraan akrab antara Malaysia dan Turki.

Turut serta dalam lawatan kerja rasmi Hamzah ialah Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Duta Besar Malaysia ke Turki Sazali Mustafa Kamal. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here