GEORGE TOWN, 3 Jun — Kerajaan Pulau Pinang berharap Jabatan Imigresen segera membuka sempadan laut negara bagi membolehkan kapal persiaran antarabangsa kembali membawa masuk pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata industri pelancongan adalah antara tonggak ekonomi Pulau Pinang dan pembukaan itu dapat mengembalikan prestasi pelancongan di negeri ini sebagaimana sebelum pandemik COVID-19.

“Kita memang tunggu kedatangan kapal persiaran antarabangsa kerana pelancong asing banyak memasuki Pulau Pinang dengan menggunakan kapal persiaran.

“Jadi, kami berharap Jabatan Imigresen dapat mempercepatkan proses pembukaan sempadan laut ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) yang meminta penjelasan mengenai sempadan laut negara yang masih ditutup.

Menurut Yeoh pemain industri pelancongan memperoleh banyak manfaat sekiranya kapal persiaran antarabangsa kembali memasuki negeri ini dan pihak kerajaan negeri telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) kekal maju termasuk menaik taraf infrastruktur.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses menaik taraf SPCT bermula sejak 2020 dan dilakukan dalam empat fasa, iaitu Fasa 1A, 1B, 2 dan 3, dengan Fasa 1A telah disiapkan.

“Fasa 1A yang dianggarkan berjumlah  RM95 juta merangkumi kerja-kerja pelebaran dermaga sepanjang 220 meter (m) arah utara SPCT, selain pembinaan breasting baharu dan mooring dolphin yang masing-masing sepanjang 50m dan 68m, serta dua jambatan bagi breasting dan mooring dolphin tersebut.

“Fasa 1B yang dianggarkan berjumlah RM4.62 juta akan memberi fokus dalam Development of Preliminary Upland iaitu mengecilkan ruang lebar dan membuat pemasangan laluan atau boarding bridges,” katanya.

Tambahnya Fasa 2 dan 3, iaitu New Homeport Terminal dianggarkan berjumlah RM55 juta akan melibatkan kerja-kerja penambahbaikan terminal termasuk penstrukturan semula terminal sedia ada dan penambahan laluan penghubung baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here