BEIJING, 9 Jun — Presiden China, Xi Jinping pada Rabu melawat bandar Meishan, provinsi Sichuan untuk menyaksikan dengan lebih dekat pembangunan tanah pertanian, industri makanan, projek  luar bandar, kawalan pandemik COVID-19 serta aktiviti perlindungan warisan sejarah dan budaya.

Ketika meninjau ke Kampung Yongfeng, Xi menyaksikan projek pembinaan kawasan tanah pertanian yang memberikan pulangan hasil yang tinggi dan proses pengeluaran bahan makanan.

Pada Mac lalu, Xi Jinping menyifatkan keselamatan makanan sebagai “keutamaan negara” dan mahu projek pertanian berskala besar seluas 66.7 juta hektar di seluruh negara dimajukan.

Untuk rekod, projek pertanian di kawasan Kampung Yongfeng adalah seluas 206.7 hektar dengan penanaman pada skala besar seluas 100 hektar.

Kampung itu berjaya merealisasikan seluruh proses penanaman padi menggunakan jentera dan merupakan tanah pertanian contoh dengan standard tertinggi di provinsi Sichuan.

Kerajaan pusat China pada awal tahun ini menegaskan bahawa pihak-pihak terlibat perlu berusaha menstabilkan sektor pertanian, menjayakan kerja berkaitan pertanian, kawasan luar bandar dan petani, serta terus mendorong secara menyeluruh pembangunan di luar bandar.

Presiden Xi sering melawat kawasan luar bandar pada tahun ini, dan menggesa usaha pembangunan di kawasan luar bandar perlu terus diperkasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here