PUTRAJAYA, 10 Jun — Sebanyak 46 penyelesaian teknologi telah dikenal pasti tersedia untuk membantu dalam menangani isu sekuriti makanan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan senarai inventori teknologi di bawahnya yang boleh digunakan segera bagi tujuan itu; dan kepakaran lebih 800 saintis Akademi Sains Malaysia juga boleh dimanfaatkan dalam mengenal pasti serta memadankan kaedah penyelesaian terbaik berlandaskan teknologi.

“Bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman, antara teknologi yang boleh diguna pakai adalah kemudahan penyinaran gamma bagi penjanaan varieti baharu tanaman termasuk penambahbaikan tanaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya penggunaan baja yang berasaskan teknologi nano (nanofertiliser) pula membolehkan pelepasan nutrien secara terkawal seterusnya mengurangkan penggunaan baja dan meningkatkan produktiviti serta hasil pertanian khususnya bekalan makanan.

Dr Adham berkata MOSTI dan agensi di bawahnya sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membantu menangani isu sekuriti makanan dengan penyelesaian berlandaskan teknologi.

Beliau berkata Agensi Nuklear Malaysia antaranya sedang menjalankan R&D kaedah biak baka mutasi rumput, contohnya penghasilan varieti baharu rumput Napier yang lebih tinggi kandungan protein sebagai makanan utama haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

Selain aktiviti R&D, beliau berkata MOSTI turut menubuhkan Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi baru-baru ini sebagai langkah proaktif dalam menangani isu sekuriti makanan di negara ini.

“Menerusi bilik gerakan ini, jaringan bekalan dalam ekosistem akan dihubungkan antara pemain utama seperti pengusaha, pihak industri dan ahli akademik bagi membantu menangani isu-isu semasa negara dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata bilik gerakan itu juga telah mengenal pasti penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), bioteknologi serta teknologi nano untuk menyelesaikan isu sekuriti makanan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Katanya MOSTI akan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan penternak, peladang dan petani serta syarikat teknologi bagi mengumpulkan input untuk membantu menangani isu sekuriti makanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here