PUTRAJAYA, 10 Jun — Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan kegiatan sindiket penipuan pengambilan pekerja asing menggunakan syarikat berdaftar yang kononnya terlibat dalam urusan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam sidang media di sini hari ini berkata enam individu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Ampang Rabu lepas, termasuk seorang warga Bangladesh yang memiliki kad pemastautin tetap (MyPR) dipercayai dalang sindiket itu.

Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana individu atau agensi dalam urusan program RTK.

“Modus operandi sindiket adalah menubuhkan syarikat pembinaan dan agensi pekerjaan haram untuk mengaburi pihak berkuasa serta menyakinkan pelanggan untuk urusan pengambilan pekerja asing khususnya melalui program RTK yang dilancarkan pada 2021,” katanya dan menambah sindiket itu telah mengaut keuntungan kira-kira RM2 juta.

Berdasarkan siasatan awal, katanya lelaki Bangladesh itu telah berada di Malaysia sejak 2010 sebagai pekerja asing dan kemudiannya mendapat MyPR pada 18 Feb 2015 serta berkahwin dengan wanita tempatan.

Khairul Dzaimee berkata siasatan masih dijalankan untuk memastikan tiada Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dikeluarkan melalui sindiket itu.

“Jika terdapat mana-mana PLKS yang telah dikeluarkan melalui sindiket tersebut ia akan dibatalkan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here