KUANTAN, 15 Jun — Sebanyak RM44.054 juta telah diperuntukkan di Pahang bagi kerja-kerja pembinaan dan pembaikan struktur rumah yang terkesan akibat banjir besar hujung tahun lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata selain kerajaan negeri, peruntukan juga diterima daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di samping sumbangan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya 148 buah rumah yang musnah sepenuhnya akibat bencana itu dibina baru dengan harga RM75,000 sebuah bagi rumah jenis tidak bertiang, dan RM100,000 untuk rumah bertiang, manakala kerja baik pulih melibatkan 3,948 rumah dengan anggaran kos sehingga RM15,000 sebuah.

“Kerja-kerja verifikasi dan pembaikan kerosakan rumah telah bermula seawal Januari lepas dan dijangka selesai Ogos ini, manakala kerja-kerja pembinaan rumah baharu akan bermula Jun ini dengan jangkaan selesai selewat-lewatnya September,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Bagi tujuan itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri telah melantik 90 kontraktor di seluruh negeri setakat ini, dengan 13 lagi kontraktor dijangka dilantik dalam masa terdekat. 

Kerja-kerja pembaikan dan pembinaan itu juga melibatkan pihak berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Syarikat Perumahan Negara Berhad, PR1MA Malaysia, FELCRA Bina dan Giat Mara.

Wan Rosdy berkata pihaknya juga akan melakukan pemantauan sepanjang kerja pembaikan dan pembinaan berjalan bagi memastikan rumah terlibat disiapkan sebaiknya untuk keselesaan mangsa yang telah diuji dengan bencana itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here