KUALA LUMPUR, 17 Jun — Seramai 249 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 terdiri daripada lima institusi pendidikan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus mencatat keputusan cemerlang dan lulus 100 peratus. 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  MAIWP Mohd Nizam Yahya berkata lima institusi itu ialah Sekolah Menengah Agama (SMA)-MAIWP Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA), SMA-MAIWP Labuan, Pondok Moden Al-’Abaqirah (PMA) dan Ma’alim Al-Sunan Li Dirasati Al-Sunnah Al Nabawiyyah (MSN). 

Beliau berkata pada kali ini SMA-MAIWP Kuala Lumpur merekodkan tujuh calon mendapat 11A dalam semua subjek, sembilan calon 10A dan lapan calon mendapat 9A manakala SMISTA pula mencatatkan empat calon mendapat 12A dalam semua subjek, lapan calon 11A dan 10 orang mendapat 10A. 

“Bagi PMA pula, daripada lapan subjek yang diambil, sembilan calon mendapat 8A dalam semua subjek dan lapan orang mendapat 7A sementara SMA MAIWP Labuan mencatatkan seorang pelajar mendapat 10A manakala MSN turut mencatatkan seorang pelajar mendapat 7A,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Mohd Nizam berkata secara keseluruhan, SMISTA dan MSN mencatatkan peningkatan dalam Gred Purata Sekolah (GPS) berbanding tahun lepas. 

“GPS bagi SMISTA telah mencapai kedudukan terbaik iaitu 2.08 mata berbanding tahun sebelumnya 2.55 dan MSN pula merekodkan 2.49 mata berbanding 3.38,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here