KUCHING, 19 Jun — Kerajaan Negeri Sarawak hari ini mengumumkan penubuhan Agensi Pembangunan Betong dan Delta Rajang bagi membantu menyelaras pembangunan di dua kawasan berkenaan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan sebanyak RM1.5 juta akan disalurkan ke setiap agensi pembangunan itu.

Beliau berkata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh akan mempengerusikan agensi Delta Rajang manakala Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas ditugaskan untuk menetapkan sempadan agensi pembangunan Betong.

“Ini merupakan strategi pembangunan di kawasan luar bandar…ini kerana kawasan bandar sudah ada kemudahan asas dan majlis perbandaran yang membantu pembangunannya.

“Ini strategi baharu kita, dan dua agensi ini bukan sahaja akan fokus kepada pembangunan fizikal tetapi juga latihan insan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-15 di sini hari ini.

Perhimpunan tiga hari yang berakhir hari ini itu disertai 2,420 perwakilan serta pemerhati.

PBB merupakan parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sementara itu, Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata parti itu telah bersetuju untuk meminda perlembagaannya bagi menubuhkan sayap baharu untuk mereka yang berusia 18 hingga 28 tahun.

“Sayap baharu ini akan memberikan kita platform untuk melatih pemimpin daripada umur 18 ke 28 tahun.

“Kita harap melalui sayap ini juga mereka dapat mengenali selok-belok serta cara-cara untuk kita berpolitik secara rasional,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here