KUALA LUMPUR, 21 Jun — Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menunggu tarikh untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung pengganti Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Kabinet.

Muhyiddin berkata perkara itu masih belum diselesaikan meskipun sudah lebih dua minggu sejak Zuraida yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengumumkan keluar daripada Bersatu. 

Mengulangi pendiriannya bahawa jawatan menteri yang dipegang Zuraida adalah kuota parti itu, katanya Bersatu sudah menyatakan pandangan dan pendirian berkenaan perkara itu, dan sewajarnya ia diputuskan segera oleh Perdana Menteri.

“Saya sudah sedia nama tetapi tidak sampai kepada Perdana Menteri lagi, kerana belum dapat berjumpa secara peribadi. Soal Parti Bangsa Malaysia (PBM) saya tidak mahu campur…saya cuma ‘concern’ Bersatu dan kedudukan kita dalam kerajaan dan jawatan menteri (dipegang Zuraida), yang memang jadi sebahagian daripada kandungan perjanjian antara Perdana Menteri dan pimpinan Perikatan Nasional.

“Perdana Menteri nak lantik Zuraida jadi apa pun itu hak dia, tetapi kuota Bersatu tidak boleh diambil. Kita sudah terima sejak awal harus dipenuhkan Ahli Parlimen Bersatu…mana tahu dia (Perdana Menteri) mahu wujudkan satu kementerian baharu nak beri pada Zuraida, atas apa alasan itu juga hak beliau,” katanya kepada pemberita selepas program #RUANGBELIA bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.

Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu untuk menyertai PBM dan menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sebagai Menteri, jika diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri. 

PBM pada 9 Jun mengumumkan untuk melantik Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang sebagai presiden pengganti parti itu.

Dua hari lepas, Zuraida berharap jawatan beliau sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dapat dikekalkan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata menerusi mesyuarat PN baru-baru ini, perbincangan secara mendalam telah dibuat khususnya dalam mengukuhkan kerjasama dan mewujudkan persefahaman antara parti komponen mengenai hala tuju dalam berdepan Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kita duduk dalam mesyuarat PN banyak perkara kita sudah bincang. PAS buat pandangan masing-masing itu terpulang pada mereka, tetapi PN kita ada pandangan kita. Saya juga bila saya buat beberapa pertemuan, saya lapor pada PAS, Gerakan dalam mesyuarat kita, tidak ada benda yang rahsia dan tiada motif tertentu sebaliknya semua dibincangkan dalam PN,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah bahawa PAS menolak idea ‘khemah besar’ dengan memfokuskan kepada agenda Penyatuan Ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here