SARIKEI, 22 Jun — Kerajaan diminta memberi perhatian kepada usaha pengambilan pekerja asing bagi menyegerakan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang sakit atau terbengkalai di Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata keresahan timbul dalam kalangan masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar apabila banyak projek yang diumumkan dua hingga tiga tahun lepas belum siap.

“Ada yang terjejas hingga terbengkalai atau terbiar selepas dua tahun tempoh pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan kontraktor terlibat menghadapi masalah aliran tunai selain kekangan tenaga pekerja untuk meneruskan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Jerayawara Ulang Tahun ke-10 TEGAS (Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak) di Dewan Masyarakat Bintangor hari ini.

Menurut beliau, sekiranya perkara itu tidak diselesaikan dengan segera, ia akan mengundang rasa kecewa dalam kalangan penduduk luar bandar yang terlibat.

Abdullah yang juga Setiausaha TEGAS berkata pihaknya akan terus meningkatkan penglibatan masyarakat khasnya warga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pendidik di dalam menimbulkan minat terhadap bidang keusahawanan digital atau technopreneur di peringkat sekolah.

Kata beliau, ekonomi digital adalah sesuatu yang tidak dapat dielak dan merupakan sebahagian daripada kehidupan baik dalam pengurusan perniagaan mahupun pentadbiran pada masa akan datang.

Menurut beliau, tidak kurang 3,000 usahawan digital telah dilahirkan melalui aktivit TEGAS di Sarawak semenjak ia ditubuhkan 10 tahun lepas.

“Tapi pada akhirnya dalam struktur yang besar digital ekonomi ini, paling penting ialah kita pastikan infrastruktur telekomunikasi kita berada di tahap terbaik terutama sekali di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata tidak kurang dari 7,000 menara telekomunikasi telah dan akan dibina di seluruh Sarawak dan pelaksanaannya amat mencabar berikutan keluasan negeri itu dan penempatan penduduknya yang berselerak khasnya di luar bandar.

“Itulah cabaran kita tetapi kita akan cuba memastikan menjelang dua hingga tiga tahun lagi, proses penembusan telekomunikasi berada di tahap yang terbaik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here