SUNGAI PETANI, 23 Jun — Seramai 48,800 orang pelatih sedang mengikuti pengajian di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) setakat 31 Mac lepas.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat sejajar dengan tahap kebolehpasaran pelatih yang kini berada pada 87.53 peratus.

“Kita ada tahap sijil, diploma, sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah jadi maknanya laluannya boleh semua daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Hari ini kita mula promosi di minggu TVET negara dan selepas itu kita akan pergi juga ke negeri-negeri lain untuk kita promosikan apa kursus yang kita ada, yang kita boleh tawarkan kepada anak-anak muda kita yang memerlukan sokongan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 di sini hari ini yang turut  dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah.

Mahdzir berkata antara yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pemain industri terhadap pelatih TVET di bawah kementerian ialah bidang berkaitan multimedia dan digital.

Selain itu, katanya pelatih yang mengikuti pengajian dalam bidang automatif dan kejuruteraan turut mendapat permintaan yang baik.

Beliau berkata KPLB akan berusaha memastikan kebolehpasaran pelatih dan kualiti kursus yang ditawarkan ditingkatkan dengan mengenal pasti kemahiran yang benar-benar boleh dipadankan dengan industri.

“Apa yang kita buat sekarang ini adalah setiap kursus itu ada kerjasama dengan pemain industri supaya ianya sepadan. Contohnya kalau kita buat sesuatu kursus, siapa pemain industri yang mahu ambil pelatih tersebut? Jika ada permintaan kita boleh kerjasama siap-siap,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata masyarakat perlu mengubah pandangan mengenai TVET yang kononnya dianggap sebagai laluan bagi pelajar yang gagal meneruskan pengajian mengikut laluan akademik.

“Kita perlu terus bawa lebih banyak kisah kejayaan (pelatih TVET) dalam media sosial dan sebagainya kerana masih ada stigma yang mengatakan TVET ini untuk pelajar yang tidak lepas laluan akademik. Padahal TVET itu sudah ditingkatkan standardnya ,” katanya.

Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 berlangsung tiga hari bermula hari ini yang merupakan medan bagi promosi secara tahunan program TVET yang ditawarkan pelbagai agensi dan jabatan di bawah KPLB bagi menarik minat dan seterusnya meningkatkan pengambilan dan kemasukan pelajar baharu.

Penganjuran ekspo ini melibatkan penyertaan dan kerjasama 280 Institusi Pendidikan TVET@KPLB di bawah tujuh agensi utama KPLB antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Majlis Amanah Rakyat dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here