KUALA LUMPUR, 24 Jun — Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2022 yang bermula hari ini hingga Ahad berperanan sebagai penghubung antara majikan dan pencari kerja selain bertujuan membantu belia bangkit semula daripada kesan pandemik COVID-19. 

Pengerusi Pemuda BN Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata karnival itu turut menyebarkan maklumat mengenai bantuan bagi mereka yang berminat  untuk memulakan perniagaan, meningkatkan kemahiran dan menyiapkan diri bagi alam pekerjaan menerusi klinik resume dan ceramah kerjaya. 

“Turut diadakan ialah on-the-spot interview (temuduga serta merta). Karnival ini bertujuan membantu belia mendapatkan pekerjaan memandangkan ada yang dibuang kerja dan hilang punca pendapatan ketika pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran karnival itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini. 

Beliau berkata kali terakhir BN menganjurkan karnival seumpama itu pada 2017 dan penganjuran kali ini adalah penting bagi membantu ramai belia terkesan ekoran pandemik dengan lebih 20,000 peluang pekerjaan  ditawarkan oleh 300 majikan dan syarikat mengambil bahagian. 

Sementara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata berdasarkan statistik terdapat 669,000 penganggur di seluruh negara setakat Mac tahun ini dengan kadar pengangguran ialah 4.1 peratus. 

“Oleh itu lebih banyak majikan, syarikat dan agensi kerajaan dipelawa untuk menyertai karnival ini bagi menawarkan pekerjaan kepada golongan belia agar seramai mungkin belia menganggur boleh mendapat pekerjaan,” katanya. 

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian karnival itu mencadangkan agar Karnival Kerjaya BN turut dibawa ke setiap negeri secepat mungkin bagi membantu golongan belia di luar Lembah Klang mendapat pekerjaan.

Karnival Kerjaya Pemuda BN 2022 ialah anjuran Pemuda BN dan Pemuda UMNO dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia. 

Antara syarikat mengambil bahagian dalam karnival kerjaya itu ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nando’s Chickenland Malaysia Sdn Bhd, The St Regis Kuala Lumpur, Golden Scoop Sdn Bhd (Baskin Robbins), Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn Bhd dan Lulu Group Retail Sdn Bhd.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here