KUALA LUMPUR, 23 Jun — Golongan peniaga, peruncit dan pengguna lega dengan keputusan kerajaan mengekalkan subsidi minyak masak kampit satu kilogram (kg) dengan menyifatkannya sebagai usaha yang baik dalam membantu meringankan beban masyarakat terutama golongan B40.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang ditemui Bernama, meminta kerajaan untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atas pemberian subsidi itu dengan memastikan bekalan minyak masak itu entiasa mencukupi, selain memantau harga keperluan asas yang lain.

Di SABAH, peniaga kecil di Sandakan, Noorasvilla Muhamma, 36, berkata langkah pengekalan subsidi itu dilihat meletakkan kebajikan masyarakat terutama B40 sebagai keutamaan, namun yang membimbangkannya adalah minyak masak paket sukar didapati di Sandakan.

“Saya bersyukur kerajaan ambil langkah dalam menangani isu peningkatan kos barang, termasuk pemberian bantuan tunai tambahan dan sebagai pengguna minyak masak dalam kehidupan harian, saya bersyukur harga subsidi minyak masak paket dikekalkan,” katanya.

Noorasvilla bagaimanapun berharap kerajaan mempergiat usaha mengekang kegiatan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi yang sepatutnya mudah didapati di kawasan terpencil.

“Minta juga kerajaan mengambil solusi yang keras, antaranya memperkasakan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan ke atas pihak pembungkus semula (repacker) yang bersekongkol dengan sindiket tidak bertanggungjawab, kalau tidak, kegiatan penyelewengan ini merugikan negara,” katanya.

Di PULAU PINANG, pengguna Mohd Fahmi Mohd Noor, 45, berharap pihak berkuasa membuat pemantauan berterusan bagi memastikan bekalan minyak masak kampit sentiasa ada di pasaran.

“Minyak masak paket ini memang keperluan kami dan bagi keluarga B40 macam saya, itu sahaja mampu dibeli berbanding harga minyak masak dalam botol yang semakin mahal sekarang ini, cuma kami harap ia sentiasa ada,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Seberang Perai.

Pengerusi Persatuan Pengguna NEGERI SEMBILAN Khairuldin Yunus berkata bagi memastikan tiada pihak menaikkan harga barangan keperluan asas sewenang-wenangnya, kerajaan perlu memantau harga barangan keperluan itu lebih kerap dan bukan hanya pada musim perayaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini bagi menanggung kategori minyak masak kampit satu kilogram (kg).

Perdana Menteri berkata program subsidi bermula sejak Jun 2007 itu merupakan subsidi yang ditanggung kerajaan bagi minyak masak kampit berharga RM2.50 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.00.

Sementara itu di KELANTAN, peniaga kedai runcit Sepiah Ismail, 63, berkata subsidi berterusan itu juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, biarpun dalam situasi harga bekalan barangan lain semakin meningkat.

“Setakat ini saya mengehadkan pembelian minyak paket ini kepada dua paket sahaja untuk setiap pengguna memandangkan saya turut berdepan dengan kekangan memperoleh bekalan minyak paket ini dalam kuantiti yang banyak daripada pembekal.

“Saya juga harap kerajaan dapat mengambil tindakan untuk memastikan bekalan minyak paket ini mudah diperoleh daripada pembekal khususnya kepada pemborong dan peruncit, sekali gus untuk mengelakkan berlaku kehabisan bekalan kepada pengguna,” katanya.

Di MELAKA, peniaga kuih tradisional Siti Rabiah Abdul Kadir, 38, berkata subsidi minyak masak yang dikekalkan kerajaan melegakan golongan sepertinya yang menghadapi beban kenaikan kos barangan lain seperti tepung dan sebagainya.

Siti Rabiah bagaimanapun meluahkan kesukarannya mendapatkan minyak masak paket di kedai-kedai runcit dan terpaksa menggunakan lebih minyak botol untuk menyiapkan tempahan seperti kuih ros dan rempeyek.

“(Kenaikan harga barang) sangat ketara dan boleh dikatakan hampir semua barangan berdepan kos kenaikan dan sebagai peniaga kita terpaksa menaikkan sedikit harga jualan untuk menampung kos bahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here