KOTA KINABALU, 25 Jun — Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu sentiasa menambah ilmu pengetahuan terutama dalam bidang teknologi bagi mendepani era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Canselor UMS itu berkata pembangunan teknologi tidak boleh dihalang, justeru graduan perlu mengambil inisiatif menambah ilmu walaupun sudah menamatkan pengajian di universiti itu dan mengubah minda bagi membolehkan mereka berjaya.

Beliau berkata dalam era IR4.0 kini revolusi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet benda (IoT) dan automasi proses robotik (RPA) memberi kesan terhadap kehidupan, sehubungan itu ia perlu dikuasai dengan sebaiknya oleh graduan.

“Saya menyeru seluruh graduan khususnya dan semua yang berada di dalam dewan ini pertingkat penguasaan ilmu terkini untuk membantu agama, bangsa dan negara. Kita perlu percaya pada kekuatan diri sendiri yang kita berupaya mendepani cabaran revolusi teknologi ketika ini.

“Kita perlu segera melakukan perubahan seperti berminda keusahawanan, menguasai kemahiran untuk mengharungi kehidupan dan bersedia untuk terus belajar secara berterusan,” katanya berucap pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23 di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.

Seramai 4,319 graduan yang menamatkan pengajian tahun lepas menerima skrol masing-masing pada majlis konvokesyen selama tiga hari bermula hari ini dengan 3,664 orang menerima Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (357), Diploma (134), Diploma Pascasiswazah (87) dan Doktor Falsafah (77).

Juhar berharap dengan pertambahan ilmu diperoleh, graduan mampu menabur bakti dan budi kepada generasi baharu.

Beliau berkata graduan UMS tidak seharusnya lupa terhadap universiti itu sebagai ‘rumah bersama’ mereka menimba ilmu dan mengambil inisiatif berbudi dengan generasi seterusnya di universiti tersebut.

“Ingat, ilmu senjata ampuh dalam setiap situasi. Kita tidak berhasrat merubah sejarah tetapi kita sebagai seorang graduan yang dilahirkan oleh UMS berada dalam kedudukan mampu melakar sejarah untuk hari-hari mendatang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here