KUANTAN, 25 Jun — Sebanyak RM5.7 juta telah diperuntuk bagi projek menaik taraf bekalan air di Bukit Kuin di sini yang dijangka siap pada April tahun depan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek itu akan memanfaatkan kira-kira 5,700 penduduk dan pihak kontraktor disaran menyiapkan kerja lebih awal.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi pengiktirafan kepada kontraktor yang berjaya menyiapkan projek itu lebih awal kerana rakyat akan memperoleh kemudahan air sempurna dengan lebih cepat.

“Projek yang siap dengan cepat adalah satu bonus kepada kita dan rakyat. Jika terlewat, bukan sahaja rakyat yang menghadapi kesukaran bahkan kita sebagai kerajaan mendapat tempiasnya kerana akan dipersalah atas kelewatan itu.

“Bagaimanapun, kita faham situasi kontraktor… kadangkala kelewatan tidak dapat dielakkan atas pelbagai faktor dan antara yang utama ialah cuaca buruk,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Air Kampung Bukit Kuin hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Wan Rosdy juga berkata pihaknya sudah mengenal pasti setiap kawasan yang berdepan masalah bekalan air di Pahang dan komited untuk mengatasinya demi kemudahan kepada rakyat.

“Kita akui terdapat masalah bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Pahang dan saya sendiri telah pergi hampir ke setiap daerah untuk mendengarnya.

“Kami cuba sebaik mungkin untuk selesaikan perkara ini tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan cepat kerana perlu mendapatkan laporan, memohon peruntukan dan mencari kontraktor yang berkebolehan untuk melaksanakan projek bekalan air,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here