KATOWICE (POLAND), 26 Jun — Agenda pembangunan bandar di seluruh dunia dalam tempoh pascapandemik ini perlu lebih strategik bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat, kata Pengarah Eksekutif Program Petempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah membuka mata semua pihak tentang keperluan penyediaan bandar yang lebih efisien dan berdaya tahan dari sebarang ancaman khususnya melibatkan kesihatan.

“Ketika pandemik contohnya (kerajaan) minta kekal di rumah tetapi ada yang tidak miliki rumah, minta buat penjarakan fizikal tetapi rumah kecil.

“Pandemik jadikan seluruh dunia lebih peka…jika boleh bagi kemudahan kepada rakyat masa pandemik tanpa banyak ‘songeh’, mengapa tidak ia dilanjutkan sekarang (pascapandemik) dan segala insentif (ketika pandemik) wajar diteruskan berpaksikan keperluan rakyat,” katanya.

Maimunah berkata demikian kepada media Malaysia ketika ditemui pada Forum Bandar Sedunia ke-11 bertemakan ‘Transforming Our Cities, For A Better Urban Future’ yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

Sempena forum itu, Maimunah turut menerima anugerah Tokoh Perancang Bandar Malaysia 2021 yang disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang kini mengetuai delegasi negara ke WUF11.

Beliau sebelum ini dinobatkan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia sempena Sambutan 100 tahun Profesion Perancang Bandar Malaysia pada 2021.

Dalam pada itu, Maimunah berkata pihaknya juga telah menerbitkan kajian bertajuk ‘Cities and Pandemic: Towards a more just, green and healthy future’ yang boleh dijadikan rujukan oleh seluruh negara.

“UN-Habitat menganalisis kira-kira 1,700 bandar dalam dunia dan saya lihat empat perkara dalam kesimpulan kajian itu.

“Antaranya ialah kita perlu lihat tentang kemiskinan, memikirkan semula reka bentuk bandar, tadbir urus dan model perniagaan baharu contohnya kesihatan adalah hak kemanusiaan,” katanya.

Mengenai penglibatan Malaysia dalam WUF11, Maimunah berkata forum tersebut akan menjadi platform untuk Malaysia berkongsi dan menilai amalan terbaik dari seluruh dunia sebagai penambahbaikan kepada agenda perbandaran negara.

“Amalan baik yang negara ada boleh dikongsi dalam forum ini, kita juga boleh belajar dari negara lain,” katanya menambah, beliau secara peribadi sentiasa berkongsi amalan terbaik Malaysia dengan negara luar tentang pelbagai aspek.

WUF ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2001 untuk mengkaji salah satu isu paling mendesak yang dihadapi dunia hari ini iaitu perbandaran pesat dan kesannya terhadap komuniti, bandar, ekonomi dan perubahan iklim.

Forum anjuran UN-Habitat itu merupakan antara perhimpunan antarabangsa yang paling inklusif mengenai isu-isu bandar.

Ia menghimpunkan wakil kerajaan negara, wilayah dan tempatan, ahli akademik, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, perancang bandar dan wakil masyarakat sivil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here