PUTRAJAYA, 3 Julai — Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerima Anugerah Kecemerlangan Pendukung Perkongsian Data Nasional (Sektor Awam) daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sempena majlis Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa kepada Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pejabat Ketua Perangkawan dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu merupakan penghargaan dan pembakar semangat warga kerja DOSM agar terus berdedikasi dalam melaksanakan tugas penyampaian statistik berkualiti kepada orang awam meskipun berdepan cabaran termasuk pandemik COVID-19 dan peningkatan keperluan pelbagai data baharu serta data masa nyata bagi pengurusan sosioekonomi negara dalam persekitaran yang semakin kompleks.

“Sehingga 1 Julai 2022, portal DOSM, www.dosm.gov.my telah dilawati 5,734,113 pelawat manakala sebanyak 1,166 penerbitan statistik (109 Bulanan, 32 Suku Tahunan, 200 Tahunan dan 825 Ad Hoc) serta 125 stats alert telah dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.

Dalam penerbitan visual interaktif penyebaran data, DOSM telah menyediakan lima platform iaitu Malaysia External Trade Statistics Online, Busines Cycle Clock Malaysia, CPI Inflation Calculator, MyLocal Stats dan Population Quick Info.

Menurut Pejabat Ketua Perangkawan, sebanyak sembilan dashboard juga telah disediakan iaitu Agricultural Analytical System, Tourism Dashboard, Malaysia Economic Recovery Dashboard, National Occupational Accident Statistics, Job Market Insights, My Job Profile, Malaysia Labour Market Interactive Data (MyLMID), OpenDOSM dan Population and Housing Census of Malaysia Dashboard (MyCendash). 

DOSM juga telah membangunkan tujuh portal data iaitu e-Statistik, StatsDW, StatsBDA, Stats Geopartal, Stats Digital, MysIDC dan Portal Banci.

DOSM sebagai agensi utama dalam urus tadbir data negara, menyediakan sistem maklumat statistik yang bermutu, relevan serta capaian dalam bentuk masa nyata, selain memastikan produk dan perkhidmatan yang disediakan berorientasikan pengguna dan bertepatan masa dengan membekalkan data kepada agensi pusat untuk pembentukan dasar perancangan pembangunan dan pentadbiran negara.

Menurut kenyataan itu, StatsDW 2.0 yang dirasmikan pada 27 Jun lepas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika ini mengandungi 501 set data dan 13 hab data. 

Ia merupakan satu daripada inisiatif gerbang data oleh DOSM untuk mengumpul dan menyimpan semua data yang diperoleh sama ada daripada survei atau banci, daripada penyepaduan integrasi sistem, atau daripada data pentadbiran agensi atau organisasi lain, ke dalam gudang data untuk memudahkan pengurusan, tadbir urus, perkongsian dan penyebaran data serta metadata yang cekap di dalam satu platform.

Selain itu, KAWASANKU yang dilancarkan pada 13 Jun lepas di Facebook DOSM adalah pembangunan platform data terbuka generasi baharu yang mengandungi informasi berkaitan profil demografi penduduk berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang bertujuan memperluas dan menggalakkan pengguna mengakses data dalam bentuk machine-readable format.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here