KUALA LUMPUR, 5 Julai — Gerakan SayaDigital yang bertujuan meningkatkan kemahiran digital rakyat memberi fokus kepada usaha mendigitalkan ekonomi rakyat dan merakyatkan ekonomi digital bagi memacu penerimagunaan digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ia merupakan satu daripada tiga komponen inisatif Malaysia Digital yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam. 

Beliau berkata gerakan SayaDigital merangkumi program-program ekonomi digital sedia ada yang dilaksanakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kepada para usahawan, peniaga (mikro, kecil dan sederhana) serta orang ramai seperti pencari kerja dan graduan menganggur. 

“Gerakan SayaDigital turut merangkumi program SayaDigital Pendapatan iaitu kaedah menjana pendapatan sama ada  pendapatan tambahan, pendapatan utama dan melaksanakan tugasan yang dimudah cara dan diperoleh menerusi platform digital,” katanya ketika menjadi tetamu dalam siaran langsung Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini. 

Bercakap kepada pemberita di lobi Wisma Berita, Angkasapuri selepas siaran langsung itu, Zahidi berkata terdapat 116 platform digital yang dibangunkan dan diuruskan warga tempatan seperti GetRunner, Bateriku dan PantangPlus. 

Katanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bertanggungjawab memantau perjalanan program dan terlibat dalam proses menentusahkan platform-platform yang ada bagi memastikan kesahihan dan kemampuan mereka bukan sekadar untuk menawarkan peluang pekerjaan tetapi untuk membuat bayaran kepada pekerja. 

Pada majlis hari ini, Zahidi turut melepaskan lapan penghantar makanan GetRunner Malaysia sebagai simbolik syarikat penghantaran itu melebarkan sayap di Lembah Klang mulai hari ini. 

Katanya GetRunner merupakan aplikasi penghantaran barangan dan makanan yang ditubuhkan sejak 2018 dan beroperasi di Kelantan dan Terengganu. 

“Platform GetRunner tidak mengambil komisen daripada rider dan vendor dan menjadikan perkhidmatannya lebih murah,” kata Zahidi lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GetRunner Muhammad Wafi, aplikasi GetRunner boleh dimuat turun di aplikasi Apple dan Android.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here