KUANTAN, 7 Julai — Beberapa laluan utama di Pahang dijangka berlaku kesesakan berikutan pertambahan jumlah kenderaan sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya akan memantau laluan berkenaan bagi mencegah kemalangan selain menambah pasukan rondaan bermotosikal bagi menyuraikan kesesakan.

Laluan yang dijangka berlaku kesesakan ialah Tol Bentong, Tol Karak, Central Spine Road (CSR) Bentong, Bandar Raub, Simpang Kallang manakala di Lipis melibatkan kawasan Benta, Padang Tengku dan CSR Merapoh selain di Cameron Highlands berikutan orang ramai berkunjung ke lokasi itu untuk bercuti. 

“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang dan menyemak jadual perjalanan yang sesuai ke destinasi masing-masing dan diingatkan memandu dengan berhemah serta mematuhi undang-undang lalu lintas sedia ada selain mematuhi arahan petugas trafik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) ANIH Berhad sebelum ini memaklumkan pihaknya menjangkakan 1.648 juta kenderaan akan menggunakan KLK manakala 704,000 lagi di LPT1 bermula esok sehingga 11 Julai ini.

Sementara itu, Mohd Yusri memaklumkan polis akan membuat pemantauan dan rondaan di kawasan perumahan dan orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk pencegahan jenayah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here