KUALA LUMPUR, 8 Julai — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan perkhabaran mengejut berhubung insiden tembakan melibatkan bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe hari ini. 

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan rasa simpati kepada seluruh keluarga Abe dan rakyat Jepun serta berharap agar keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan yang menimpa.

“Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga Shinzo Abe berada dalam keadaan baik dan pulih seperti sedia kala,” menurut catatan itu.

Terdahulu, Agensi Anadolu melaporkan Abe, 67, “ditembak dari belakang” ketika sedang berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara, dengan penyerang sudah ditahan. 

Abe kini dilaporkan “dalam keadaan kritikal”, memetik sidang akhbar Perdana Menteri Fumio Kishida.

Mengimbas kembali pertemuan dengan Abe, Seri Paduka berkenan menerima menghadap beliau, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Istana Negara pada 11 Mac lepas.

Abe pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.

Pada pertemuan tersebut, Seri Paduka turut berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada Abe sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sesi menghadap tersebut merupakan pertemuan kedua Al-Sultan Abdullah dengan beliau, selepas yang pertama ketika Seri Paduka menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Okt 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here