KUALA LUMPUR, 9 Julai — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan pindaan pengoperasian potongan cukai dua peratus secara pentadbiran oleh syarikat pembayar kepada ejen, pengedar atau pengagih (EPP) mulai Julai 2022.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN berkata syarikat pembayar perlu membuat potongan cukai dua peratus kepada EPP bagi setiap transaksi potongan secara terkumpul mengikut bulan. 

Menurut LHDN, amaun potongan cukai dua peratus berkenaan hendaklah diremitkan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) selewat-lewatnya pada hari terakhir bulan berikutnya.

Selain itu, syarikat pembayar dikehendaki mengemukakan Borang CP107D – Pin 2/2022 dalam bentuk PDF dan Lampiran CP107D(2) dalam format Excel secara emel mengikut pusat bayaran sebelum pembayaran dibuat.

“Pengemukaan borang dan lampiran secara emel adalah perlu bagi bayaran di kaunter bayaran atau secara pos,” katanya sambil menambah sebelum membuat pengisian Lampiran CP107D(2), syarikat pembayar perlu memastikan penerima mempunyai nombor cukai pendapatan.

Sementara itu, kelayakan dalam memastikan EPP itu layak dibuat potongan dalam tahun 2022 adalah berdasarkan nilai ambang RM100,000 penerimaan bayaran (tunai dan bukan tunai) pada tahun sebelumnya (tahun 2021).

Borang CP107D – Pin 2/2022 dan Lampiran CP107D(2) itu boleh diakses dan dimuat turun dari Portal Rasmi HASiL melalui pautan https://www.hasil.gov.my/borang/muat-turun-borang/muat-turun-borangcukai-pegangan/?subKategoriCukaiPegangan=Semua&tahun=Semua 

Untuk maklumat lanjut, hubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here