PUTRAJAYA, 11 Julai — Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan satu notis arahan pernah dikeluarkan kepada penggerak projek ladang hutan di Gunung Inas, Baling, Kedah tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, memo bertarikh 10 Mac 2021 itu susulan siasatan agensi tersebut yang mendapati perubahan konsep asal projek terbabit.

“Berdasarkan siasatan JAS, notis dikeluarkan apabila ladang di tapak itu telah ditanam dengan pokok durian dan bukan pokok getah klon balak,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau merujuk kejadian banjir lumpur di Kampung Iboi dalam daerah berkenaan minggu lalu apabila pelbagai pihak mempersoal sama ada kajian impak alam sekitar (EIA) dilakukan.

Cadangan ladang hutan di situ dilaksanakan oleh penggerak projeknya, Perbadanan Menteri Besar Kedah dengan usaha sama Kedah Agro Plantation Sdn. Bhd. pada peringkat awalnya.

Ujar beliau, penggerak projek itu kemudian ditukar kepada Aman Mega Sdn. Bhd. yang tular apabila media mendapati ia dimiliki pasangan suami isteri dan berpusat di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff mengesahkan konsep projek yang dibenarkan itu hanyalah pembangunan ladang hutan berkeluasan tidak lebih 5,000 hektar dengan ada tiga komponen.

“Laporan EIA telah diluluskan pada 25 Julai 2013 setelah Jawatankuasa Penilaian Teknikal mendapati langkah pencegahan, mitigasi dan kawalan pencemaran adalah mencukupi,” jelasnya.

Ahli jawatan kuasa itu terdiri daripada pelbagai agensi di peringkat persekutuan dan negeri serta pakar yang mengikut bidang ditetapkan kerana melibatkan hutan simpan gunung tersebut.

Justeru, menurutnya, konsep pembangunan meliputi kerja pembalakan dan penanaman semula spesies kayu atau tumbuhan sedia ada serta tebang habis bagi tujuan penanaman getah klon balak.

Komponen ketiga pula, jelas beliau, membabitkan pembangunan hutan yang terdiri daripada kerja penanaman tumbuhan jenis mono-crop bagi penghasilan produk kayu getah dan lateks.

Pemeriksaan penguatkuasaan terkini JAS pada 24 Mei lalu bagaimanapun mendapati tiada kerja penanaman semula anak benih pokok yang dijalankan di lokasi kompartment 8 hutan itu.

“Saya telah mengarahkan JAS Kedah meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala demi memastikan aktiviti tertakluk keperluan perundangan,” tegasnya.

Perkara berkenaan termasuk Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekeliling) 2015 dan pelbagai peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Bagaimanapun beliau mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif atau penanaman semula ketika Perintah Kawalan Pergerakan lebih dua tahun lalu hingga tempoh tamat dan ke hari ini.

Katanya, keadaan berkenaan disebabkan projek aktiviti tersebut tidak mendapat sebarang kelulusan operasi kerja daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Namun tambah beliau, tanaman tutup bumi tela ditanam dan JAS mendapati ia tumbuh dengan baik bagi tujuan menutupi keseluruhan kawasan tanah projek yang terdedah.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua penggerak projek supaya sentiasa mematuhi segala syarat kelulusan laporan EIA dan undang-undang yang berkuat kuasa selama ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here