KUALA LUMPUR, 13 Julai — Malaysia menyasarkan 35 pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang akan berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand bermula 26 Julai hingga 6 Ogos ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata seramai 275 atlet akan menggalas cabaran negara dalam 19 daripada 23 acara yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.

“Pada AUG di Thailand, saya umumkan sasaran kita kali ini adalah 35 pingat emas seperti di Myanmar 2018, dan saya berharap kita dapat memperbaiki pencapaian terbaik kita secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.

Pengumuman itu dibuat Noraini pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) di Putrajaya, hari ini.

Pada edisi 2018, Malaysia mengutip 37 pingat emas melepasi sasaran awal 35 di samping 43 perak dan 49 gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Thailand dan Indonesia.

Noraini pada majlis sama turut menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM135,000 kepada 98 atlet institut pengajian tinggi yang menyumbang pingat emas, perak dan gangsa di temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas.

Atlet renang Khiew Hoe Yan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul penerima insentif tertinggi RM7,000 susulan kejayaan menyumbang satu emas, tiga perak dan satu gangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here