BEIJING, 13 Julai — Penubuhan Organisasi Antarabangsa Persidangan Internet Dunia (WIC) disifatkan sebagai langkah penting dalam arus pembangunan zaman teknologi maklumat ketika ini, kata Presiden China, Xi Jinping dalam perutusan tahniahnya sempena penubuhan WIC.

Beliau berkata penubuhan WIC juga mampu memperdalam kerjasama antarabangsa membabitkan ruang siber.

Xi turut berharap WIC terus menggalakkan perundingan bersama serta perkongsian melalui dialog dan kerjasama substantif sekali gus menyumbang kepada perkembangan serta tadbir urus internet global.

“Ruang siber berkait rapat dengan nasib manusia dan masa depannya harus dicipta secara bersama oleh semua negara di dunia.

“China bersedia bersama-sama masyarakat antarabangsa ke arah membina ruang siber yang lebih adil, inklusif, selamat, mantap dan dinamik demi manfaat rakyat seluruh dunia,” kata Xi pada Selasa.

Difahamkan, WIC yang beribu pejabat di Beijing menyasarkan penubuhan wahana diskusi, bangun dan kongsi bersama dalam ruang siber global.

Ia secara tidak langsung mendorong masyarakat antarabangsa ke arus zaman pendigitalan, perangkaian, intelektualisasi, menghadapi cabaran keselamatan dan berusaha ke arah kesejahteraan, serta membentuk komuniti berkongsi nasib ruang siber.

WIC merangkumi sekretariat, jawatankuasa kaunseling kanan dan suruhanjaya profesional dianggotai agensi antarabangsa, perusahaan dan institusi serta pakar dan sarjana dalam bidang internet serta turut menganjurkan persidangan dan majlis yang berkaitan.

Ia akan menyediakan platform pertukaran dan kerjasama di samping menyediakan perkhidmatan dan sokongan, peningkatan kemampuan serta pameran kepada anggotanya.

Sidang Kemuncak Wuzhen WIC akan diubah suai menjadi sidang tahunan pertubuhan antarabangsa yang merangkumi forum dan seminar serantau serta topik perbincangan khas.

Lebih 100 agensi, syarikat dan individu dari hampir 20 negara di enam benua menganggotai WIC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here