SHAH ALAM, 17 Julai — Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh bersedia mendedahkan senarai calon bertanding dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) yang tidak memulangkan semula wang deposit kepada parti terutama yang memenanginya dan pernah mendapat jawatan dalam kerajaan.

Tindakan calon sedemikian ditegaskan wajar disenarai hitam daripada bertanding dalam pilihan raya akan datang dan memberi peluang kepada wakil lain yang benar-benar mahu membawa PKR kepada kemenangan.

“Hendak bertanding beria-ia tandatangan aku janji. Lepas bertanding, kita hendak kutip balik duit deposit, tak pulang balik. Enam bulan ini, kalau hendak saya senarai, saya boleh keluarkan senarai siapa yang tak bayar balik duit deposit.

“Masa suruh sign, sign beria-ia sign untuk jadi calon. Bila minta balik duit deposit pun punyalah susah. Baik kita blacklist tak payah jadi calon pada pilihan raya akan datang. Siapa setuju bangun! Tak payah kita beri peluang,” katanya ketika berucap dalam penggulungan Kongres Nasional PKR Ke-16, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuantan itu turut menggesa Lembaga Disiplin Parti supaya mengenakan tindakan terhadap pimpinan parti dan anggota yang mengeluarkan kenyataan mengancam kekuatan parti.

Menurutnya, sebelum ini terlalu ramai pemimpin dan anggota yang mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada akhbar mahupun dalam media sosial mendedahkan kelemahan-kelemahan dalam parti.

“Kita hendak menang, tetapi tindakan kita tidak membawa kepada kemenangan. Kita hendak menang dalaman dan luaran. Di luaran kita, pesanan, manifesto, strategi dan kita harus dilihat oleh lawan serta segala pengundi di luar sana bahawa kita merupakan parti yang layak dan wajar diberi mandat.

“Kalau kita duduk dalam Facebook, asyik serang sesama kita. Sikit-sikit masuk Facebook, buat kenyataan media, orang hendak undi kita pun meluat dan menyampah, tahu tak? Tak boleh simpan ke sedikit? Tak ada ke saluran dalaman? Tak ada ke cara berkomunikasi? Hebat konon, tetapi tak sedar inilah yang menghancurkan parti, membawa kekalahan kita,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here