KUALA LUMPUR, 17 Julai — Selepas sekian lama tiada acara hiburan secara terbuka, Pentas Seni Merdeka kembali menghidupkan suasana ibu kota melalui pengaktifan ruang awam dengan menjadikan ‘Downtown KL’ sebagai daerah budaya dan kreatif.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata aktiviti seni budaya dan kreatif penting dalam meningkatkan ekuiti sosial masyarakat sekali gus membantu membentuk perpaduan antara kaum.

“Pentas Seni Merdeka, inisiatif seni yang memanfaatkan sepenuhnya ruang awam apabila mengiktiraf kepentingan kandungan kreatif dan budaya sebagai usaha mengaktifkan semula ibu negara pascapandemik.

“Oleh itu, kami berharap untuk melihat lebih banyak usaha kolaboratif dilaksanakan dalam menjadikan ruang awam lebih menarik untuk dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pentas Seni Merdeka di sini malam tadi.

Acara julung kali di Jalan Raja di sini merupakan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Think City dengan dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Pengarah Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed berkata ruang awam terbaik terhasil daripada inisiatif yang dipacu komuniti termasuklah dalam soal cita rasa kandungan kreatif dan budaya.

Beliau berkata menerusi Pentas Seni Merdeka, Think City berhasrat mewujud dan mengekalkan platfom seni awam di Downtown KL sebagai sebahagian daripada pelan strategik untuk membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat budaya dan kreatif.

“Ini termasuk mengumpul, mengaktifkan dan memulihkan aset sedia ada sambil merangsang rangkaian yang lebih luas dalam aktiviti ekonomi baharu sekali gus meningkatkan kualiti daya huni,” katanya.

Pentas Seni Merdeka merupakan edisi pertama daripada empat edisi yang menampilkan tarian dan seni Ronggeng Melayu dikendalikan Pusat Penyelidikan Seni Persembahan Nusantara (NusPARC).

Acara itu turut menampilkan pelbagai aktiviti lain termasuk persembahan daripada Artis Budaya dan Kombo Budaya DBKL, bengkel terarium, kedai makanan ringan tempatan dan kendera saji.

Edisi seterusnya akan diadakan pada setiap Sabtu kedua setiap bulan di Jalan Raja dengan edisi kedua dijadual pada 10 Sept diikuti 8 Okt, 12 Nov dan 10 Dis depan. Setiap edisi akan menampilkan bentuk dan pengalaman seni berbeza.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here