KUALA LUMPUR, 19 Julai – Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) di bawah Program Pemilikan Kediaman (HOPE) memberi peluang kepada golongan belia terutama pekerja ekonomi gig untuk memiliki kediaman.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Azhar Ahmad berkata inisiatif itu menawarkan akses pembiayaan menerusi Cagamas Berhad, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan skim sewa untuk beli dengan PR1MA.

Katanya, pembiayaan melalui Cagamas Berhad dan SJKP bersifat fleksibel tanpa perlu mengemukakan penyata gaji yang kebiasaannya menjadi syarat utama dalam proses pemilikan kediaman.

“Dalam keadaan sekarang ini, ramai belia terlibat dalam ekonomi gig atau bekerja sendiri iaitu tiada pendapatan tetap, tiada penyata gaji, tidak seperti mereka yang bekerja dengan sektor awam… mereka tidak dapat berikan penyata gaji bulanan seperti apa yang bank minta, jadi untuk tangani isu ini kerajaan lancarkan skim i-Biaya ini.

“Di bawah skim ini ada Cagamas Berhad dan SJKP yang bersifat fleksibel, kalau tiada penyata gaji boleh dipertimbangkan dengan melihat komitmen bulanan seperti bil elektrik, bil telefon atau pembelian secara dalam talian iaitu (jika) rekod pembayaran mereka bagus, ini boleh diambil kira sebagai menyokong kelayakan bahawa dia mampu untuk bayar (rumah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘HOPE: Ke Arah Merealisasikan Aspirasi 1 Keluarga, 1 Rumah Tetamu’ terbitan Bernama TV malam ini.

Mengulas lanjut Azhar berkata pembiayaan yang ditawarkan adalah 110 peratus meliputi pembiayaan bagi membayar deposit rumah.

“Ini kerana kita tahu golongan muda contohnya kalau nak beli rumah berharga RM250,000, deposit kena sediakan dengan bayaran peguam dan sebagainya lebih kurang RM25,000 boleh dimasukkan dalam pembiayaan perumahan mereka,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 Julai lepas telah melancarkan program HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah di Pusat Pameran Mid Valley, yang bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here