BEIJING, 22 Julai — Golongan belia adalah penyumbang utama dalam mendorong pembangunan sosial dan berperanan menyuntik kesegaran dan kedinamikan dalam pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan, kata Presiden China, Xi Jinping.

Beliau berkata demikian dalam perutusan tahniahnya di Forum Pembangunan Belia Dunia yang dirasmikan di sini, pada Khamis.

Forum bertemakan “menggalakkan pembangunan belia, meneroka masa depan bersama” itu memfokuskan pembangunan golongan belia, mengumpul konsensus di pelbagai peringkat antarabangsa terhadap pembangunan belia demi mendorong pelaksanaan Inisiatif  Pembangunan Global dan bertindak kondusif dalam pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang turut berucap pada forum itu menerusi video menyuarakan harapannya agar semua negara menyokong peranan golongan belia dalam bidang politik, ekonomi dan masyarakat.

Beliau menggesa pemimpin pelbagai negara mengambil bahagian dalam perbincangan dengan golongan belia dan mendengar pendapat mereka mengenai pembaharuan.

“Cadangan daripada golongan belia juga perlu diberi perhatian ketika membuat dasar yang berkaitan di samping menyokong mereka menyertai pelbagai aktiviti sosial,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), Klaus Schwab dalam ucapannya berkata manusia masih menghadapi cabaran global termasuk perubahan iklim.

Justeru katanya, pemimpin harus meningkatkan kerjasama secara sistematik dengan golongan belia.

Objektif forum itu antara lain untuk mengumpul tenaga bagi pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB.

Forum kali ini mengandungi empat forum yang masing-masing bertemakan kerjaya dan keusahawanan, perubahan iklim dan pembangunan hijau, ekonomi digital, serta pendidikan berkualiti yang inklusif dan adil.

Selain itu, forum berkenaan turut mengeluarkan Inisiatif Antarabangsa Utamakan Pembangunan Belia dan melancarkan persiapan pelan tindakan pembangunan belia yang berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here