ALOR SETAR, 23 Julai — Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mahu semua pemimpin parti komponen gabungan itu di peringkat bahagian dan negeri tidak membincangkan isu pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pemimpin di peringkat tertinggi dan Biro Politik BN untuk diputuskan bagi menjaga keharmonian serta mengelakkan situasi tidak senang dalam gabungan tersebut.

“Saya telahpun memberi nasihat dalam mesyuarat BN pagi tadi supaya pembahagian kerusi ini jangan sentuh dahulu, pembahagian kerusi ini serahkan kepada presiden parti dan Biro Politik BN. Kita akan bentangkan kita punya strategi dan di situ, kita akan lihat semua perkara secara keseluruhan.

“Kita tidak mahu nanti kerana ada pula di peringkat bahagian dan di peringkat negeri mengatakan mahu kerusi itu dan ini, nanti akan mewujudkan perasaan tidak sihat antara satu sama lain dalam BN,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama jentera pilihan raya BN dan penyerahan tauliah pelantikan pengerusi pusat daerah mengundi seluruh Kedah di sini hari ini.

Mohamad berkata sekiranya pembahagian kerusi telah diputuskan di peringkat tertinggi, beliau yakin pemimpin di peringkat negeri dan bahagian akan dapat menerima keputusan itu. 

Katanya setakat ini, status quo kedudukan kerusi antara parti komponen BN masih kekal dan pemimpin di peringkat tertinggi juga belum membincangkan perkara itu.

Beliau berkata buat masa ini, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai persiapan BN di peringkat negeri dan bahagian seluruh negara bagi menghadapi pilihan raya serta akan membuat laporan mengenai perkara itu untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata pihaknya telah menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung permohonan meminda perlembagaan parti itu dan berharap jabatan tersebut dapat memberikan keputusan selewat-lewatnya 31 Julai ini.

“Bagilah jawapan ‘ya’ ataupun ‘tidak,’ kalau ‘ya’ syukur Alhamdulillah, kalau ‘tidak’ kami perlu buat rayuan kepada Menteri (Dalam Negeri). Kami perlu bersedia kerana tempoh kami sebagai pemegang jawatan dalam parti sampai hujung tahun ini.

“Kalau perlu buat pemilihan parti, kena buat mesyuarat di peringkat cawangan… 22,000 lebih cawangan dan 191 bahagian bukan sesuatu yang mudah, kami tidak mahu sehingga parti ini terbubar pendaftarannya,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here