KOTA BHARU, 24 Julai — Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan yang melabuhkan tirainya hari ini sangat berjaya dan telah mencapai matlamat penganjuran untuk membawa perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata semua kementerian dan agensi terlibat sepanjang tiga hari AKM edisi keenam itu telah berjaya merancang serta mengendalikan reruai masing-masing dengan sangat baik.

Malah kata beliau, pengisian program jelajah yang menarik merupakan antara faktor kejayaan yang  membawa ramai pengunjung datang hingga melebihi sasaran awal 50,000 orang.

“Saya tengok semua kementerian dan agensi (yang terlibat) barangkali kerana ini siri keenam masing-masing sudah ada pengalaman, saya tengok persembahan dan program yang mereka bawa lebih menarik dan lebih dekat dengan orang ramai. Itu antara faktor yang mendorong AKM Kelantan menerima kunjungan ramai.

Yang penting sekarang ialah kehadiran rakyat yang melawat dan mendapatkan maklumat serta perkhidmatan daripada kerajaan bagi memenuhi matlamat jelajah lebih daripada tercapai,” katanya kepada pemberita selepas melawat aktiviti seni RIUH X JAKM Kelantan sempena AKM Kelantan di Gelanggang Seni, di sini hari ini.

Annuar yang juga penyelaras AKM Kelantan berkata kejayaan yang dicapai pada penganjuran kali ini juga diharap dapat memberi semangat kepada tuan rumah pada edisi seterusnya.

“Saya harap kejayaan ini jadi dorongan pula kepada venue-venue lain supaya program jelajah yang merupakan inisiatif Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan negeri ini akan menyemarakkan satu suasana baharu terutama kepada tuan rumah seterusnya,

Ini kerana kita tahu tuan rumah seterusnya akan menganjurkan program sama pada bulan Ogos dan September, seperti yang diketahui merupakan bulan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat AKM Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, program jelajah yang bermula Jumaat dan berakhir hari ini menerima kehadiran 71,335 orang pengunjung setakat 6 petang tadi.

AKM Kelantan merupakan lokasi yang keenam bagi siri jelajah tahun ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) telah dipertanggungjawabkan sebagai kementerian peneraju bagi siri kali ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan AKM Kelantan yang bertemakan “Keluarga Malaysia Keluarga Digital” di Stadium Sultan Muhammad IV, yang juga venue utama program.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here