KUALA LUMPUR, 26 Julai – Persediaan awal yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam berdepan dengan peningkatan kes COVID-19 dan kebarangkalian penularan jangkitan monkeypox dalam negara tidak memungkinkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun kawalan sempadan negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini jangkitan monkeypox dan peningkatan kes COVID-19 di dalam negara masih terkawal.

“Dari laporan KKM tadi semua dalam keadaan terkawal, mereka pantau dengan ada langkah yang mereka telah dan sedang ambil… yang agak merunsingkan sebab banyak negara lain ada peningkatan kes tetapi di Malaysia ada sedikit namun tidak mengganggu usaha yang sedang dibuat untuk mengawal keadaan.

Tadi juga ada disebutkan tentang monkeypox namun keadaannya terkawal di Malaysia. Dari penjelasan KKM tadi, mereka sudah bersedia dengan pengalaman lebih dua tahun uruskan pandemik COVID-19 beri mereka banyak pengajaran, mereka sudah ambil segala langkah perlu, kita harap tidak akan berulang semula cerita-cerita dahulu yang sebabkan kita terpaksa kawal sempadan atau kenakan PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kali ketujuh bagi tahun 2022 hari ini.

Muhyiddin berkata berdasarkan laporan KKM itu tadi, MPN juga berpuas hati bahawa KKM yang telah bersedia menghadapi apa sahaja bentuk kemungkinan sekiranya wabak berkenaan muncul kembali.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, menerusi mesyuarat itu, MPN juga bersetuju dengan saranan KKM bagi mempertingkatkan pengawasan dan advokasi mengenai monkeypox termasuk mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa negara. 

Katanya, bagi pengembara yang tiba dari negara-negara yang melaporkan monkeypox, mereka dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan monkeypox untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

“Pengembara bukan warganegara yang tiba dari negara terbabit akan menerima mesej kesihatan pop-naik setiap hari untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan monkeypox dan status kesihatan.

Selain itu, memberikan nasihat kesihatan kepada pengembara Malaysia ke negara-negara yang terdapat kejadian monkeypox terutamanya di Afrika Tengah dan Afrika Barat,”katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan semua pusat kemudahan kesihatan agar peka dengan situasi semasa monkeypox serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan monkeypox kini adalah Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

Katanya sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM setakat 23 Julai dan kesemuanya disahkan negatif.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here