KUALA LUMPUR, 27 Julai — Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sejak 12.39 tengah hari ini adalah melibatkan 2.2 gigawatt (GW) iaitu 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan antara kawasan yang terlibat adalah di  Petaling Jaya, Cheras; Bangi (Lembah Klang); Bayan Lepas dan Seberang Jaya (Pulau Pinang); Panchor, Johor dan Bandar Indera Mahkota, Pahang.

“Bagaimanapun, bekalan telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terlibat kecuali di kawasan-kawasan terbabit di Lembah Klang,” menurut TNB.

TNB memaklumkan punca kejadian sedang dikenal pasti dan usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

“TNB akan memaklumkan kepada para pelanggan dari semasa ke semasa. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here