KUALA LUMPUR, 28 Julai — Acara Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 berjaya menjana nilai potensi jualan berjumlah RM3 bilion, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata potensi jualan terbabit dijana menerusi pemeteraian pelbagai memorandum persefahaman, jualan dan janji niaga kerjasama dalam ekspo tiga hari bermula 26 Julai lepas yang melibatkan sebanyak 1,288 delegasi perdagangan serta 537 mesyuarat perniagaan dari 39 negara.

“Kita menyasarkan jualan itu akan turut menjana lebih banyak pendapatan bagi sektor agrikomoditi negara-negara yang menyertai acara ini seperti Nigeria, Bangladesh, India dan Pakistan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Anugerah Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia bersempena majlis penutup MIACES 2022 di sini, malam ini.

Lebih 10,000 pengunjung perdagangan menghadiri ekspo anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

MIACES 2022 yang bertemakan ‘Memajukan Agrikomoditi dalam Ekosistem Lestari’ itu menampilkan pelbagai produk minyak sawit, getah, kayu, koko, lada dan kenaf yang merupakan antara pemacu utama ekonomi negara.

Bagi tempoh Januari-Mei 2022, jumlah eksport agrikomoditi negara mencecah RM87.6 bilion iaitu peningkatan sebanyak 2.7 peratus berbanding RM85.3 bilion dalam tempoh sama pada 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here